Perkataan ‘prihatin’ telah lama digunakan di Indonesia. ‘Prihatin’ mulai popular di Malaysia pada dasawarsa 90-an tetapi dengan makna yang berbeda dari yang biasa diartikan di Indonesia.
Orang Indonesia menggunakan istilah ini dengan maksud kesedihan, kepedihan terhadap sesuatu keadaan. Untuk lebih jelas lagi, kita semak Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI):
pri·ha·tin 1 a bersedih hati, waswas, bimbang (krn usahanya gagal, mendapat kesulitan, mengingat akan nasibnya, dsb): kita selalu — jika membaca berita-berita kebakaran yg menelan korban yg besar; masyarakat petani Jawa Tengah sedang — dng adanya hama wereng yg menyerang tanaman padi; 2 v menahan diri; bertarak;
ber·pri·ha·tin a prihatin;
mem·pri·ha·tin·kan v menimbulkan rasa prihatin; menyedihkan: stadion sepak bola itu sudah dl keadaan yg ~ sejak beberapa tahun yg lalu;
ke·pri·ha·tin·an n kesedihan yg mendalam: kehidupan rakyat jelata, sehari-hari penuh dng ~
Di Malaysia ‘prihatin’ merupakan padanan perkataan bahasa Inggeris ‘care’ (di Indonesia diterjemahkan dengan ‘peduli’).
Pada 8 April 2010 istilah ini digunakan untuk Kempen Kami Prihatin dilancarkan bagi mencetuskan kesedaran umum terhadap isu penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
Kempen yang digerakkan oleh Utusan Malaysia bersama Astro, Karyawan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di KL Sentral.
Kamus Dewan Edisi Empat menerangkan perihal ‘prihatin’ seperti berikut:
1. mengambil berat, perhatian terhadap sesuatu perkara: sbg jiran, kita ~ terhadap rusuhan rakyat menentang pemerintahan tentera di Bangkok; 2. Jw berdukacita atau kecewa yg amat sangat (kerana gagal usaha, menghadapi kesusahan, dll), rasa sedih yg amat sangat; 3. berusaha (berikhtiar) dgn bersungguh-sungguh utk mendapat sesuatu yg dicita-citakan; memprihatinkan 1. menimbulkan rasa mengambil berat, memberi perhatian; 2. menimbulkan rasa sedih (kpd), menyedihkan: soal akhlak inilah yg ~ para pemimpin dr dulu hingga sekarang; keprihatinan 1. kesungguhan menunjukkan minat atau perhatian berat pd seseorang atau sesuatu: ~ terhadap kebajikan sosial dan kepentingan awam; ~ negara-negara Islam terhadap Bosnia-Herzegovina; atas rasa ~ dan tuntutan memenuhi cita-cita bahasa, bangsa, dan negara; 2. perasaan sedih (dukacita) yg amat sangat: lalu diberikan berbagai-bagai alasan dan saranan dgn rasa ~ yg mendalam terhadap peranan yg sudah terabai.
