SYAFREIN.COM

home and family guide

Pencatutan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membentangkan rang undang-undang pencatutan di Parlimen pada bulan depan bagi mengekang peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Dengan pengenalan Akta Pencatutan, lapor Bernama,  tindakan boleh diambil terhadap peniaga yang sengaja menaikkan harga barang dan perkhidmatan secara sebarangan.

Pencatutan? Perkataan ini hampir tidak pernah kita dengar di Malaysia. Cuba kita baca berita berbahasa Inggeris dari Bernama, 13 Mei 2010, di bawah ini:

The Domestic Trade, Cooperatives and Consumerism Ministry will table the anti-profiteering legislation in Parliament in June, to rein in unscrupulous traders.

Maka jelaslah pencatutan yang dimaksudkan itu sama dengan anti-profiteering dalam bahasa Inggeris. Kita tidak pasti perkataan mana yang dirujuk terlebih dahulu: (1) anti-profiteering dipadankan ke bahasa Melayu menjadi pencatutan, atau (2) pencatutan dipadankan ke bahasa Inggeris menjadi anti-profiteering.

Istilah ‘catut’ ini amat popular di Indonesia era 1960-an dan 1970-an. Tukang-tukang catut ini berkeliaran di tempat-tempat awam: bioskop (panggung wayang), terminal bas, setesen kereta api, dan lain-lain.

Mereka sentiasa membaca keadaan. Misalnya, kalau filem yang akan ditayangkan filem box office, mereka buru-buru memborong tiket terlebih dahulu. Tentu saja orang ramai tidak dapat membeli tiket di kaunter kerana telah habis mereka borong semuanya.

Jadi, terpaksalah mereka membeli tiket dari tukang catut itu, dan harganya jauh lebih mahal dari harga sebenarnya. Itulah kerja tukang catut. Perbuatan tukang catut ini disitilahkan sebagai ‘pencatutan’.

Kita sering menggunakan perbuatan ini dengan istilah black market.

Ada satu lagi istilah untuk perbuatan ini, iaitu ulat. Namun ulat-ulat ini menyediakan perkhidmatan tambahan. Kita akan bincang mengenai ulat ini pada waktu akan datang.

Copyright secured by Digiprove © 2010 Syafrein Effendi Usman

Bad Behavior has blocked 104 access attempts in the last 7 days.

Switch to our mobile site