Lebih dari tiga juta orang Muslim berbibadah di Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi di Madinah pada hari Ahad, malam 27 Ramadhan, mencari berkat Lailatul Qadr (malam kemuliaan).
Masjid al-Haram di Makkah meluap dengan ratusan ribu Muslim ketika mereka datang untuk melakukan umrah, menunaikan solat Tarawih dan Qiyamullail. Mereka juga berdoa mencari berkat Lailatul Qadr, yakni malam yang nilainya lebih baik dari 1,000 bulan dalam hal ganjarannya.
Nabi ( صلی الله عليه وسل) bersabda: “Sesiapa bersolat sunat pada malam kemuliaan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah akan diampuni dosa-dosa masa lalunya.”
Kerajaan Saudi telah melakukan segala persiapan untuk menerima kehadiran jamaah yang begitu ramai sama ada dari dalam negeri mahupun dari luar. Penjaga Dua Masjid Suci Raja Abdullah turut berada di Makkah untuk mengawasi perkhidmatan yang diberikan kepada para tetamu Allah.
Sekitar 4,500 polis dikerahkan untuk menjaga keselamatan dan ketertiban di bandar itu. Sekitar 10,000 pekerja disediakan untuk menjaga kebersihan masjid dan sekitarnya.
Sekitar 20,000 pendingin air telah disediakan di pelbagai bahagian masjid untuk bekalan air minum kepada para jamaah. Meskipun jumlah pengunjung begitu ramai, namun lalu lintas di Makkah berjalan lancar dan tidak ada kemalangan besar dilaporkan.
Pegawai keselamatan khas telah dikerahkan untuk menangkap penyelok saku dan penjenayah lain. Jabatan Pertahanan Awam telah mengerahkan pemadam kebakaran dan unit penyelamat sentiasa dalam keadaan bersedia di pusat Makkah.
Semua bilik hotel dan pangsapuri di Makkah telah penuh. Penjualan tilam meningkat pada hari Ahad kerana ramai jamaah membelinya untuk bersembahyang di luar masjid. Harga tilam tersebut naik mendadak dari SR10 ke SR25 kerana permintaan yang amat besar.
Pengangkutan Awam Saudi telah mengoperasikan sejumlah besar bas untuk mengangkut jamaah umrah berulang alik dari medan parkir yang luas di sekitar Makkah ke masjid.
Pemandu teksi juga mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengenakan kadar tambang sehingga SR90 untuk membawa jamaah dari Masjid al-Haram ke tempat parkir, sementara bas-bas mini (van) mengenakan tambang SR15 – SR20 seorang.
Pegawai-pegawai penguatkuasa Bandaraya telah memeriksa kedai makanan segera di sekitar masjid untuk memastikan mereka mematuhi piawaian kebersihan.
Di Masjid Nabawi di Madinah, sejumlah besar umat Islam termasuk tenaga kerja asing dan pengunjung asing telah menunaikan solat Tarawih dan Qiyamullail. Masjid penuh sesak dengan para jamaah, termasuk sekitar 10,000 orang yang beriktikaf di dalam masjid. (Sumber berita & Foto: ArabNews)
Copyright secured by Digiprove © 2010 Syafrein Effendi Usman






