catatan sekilas

04 June 2005

Posted by Syafrein Effendiuz in | Saturday, June 04, 2005 7 comments

Ketika memasuki KLIA, hujan turun dengan lebatnya. Jarum jam menunjukkan 10:40. Warith berangkat pada 13: 15. Masih banyak waktu buat kami. Sementara menunggu, aku menuju ke kedai buku. Aku ternampak buku 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck' karya Buya Hamka.

Roman 'Tenggelamnya Kapal van Der Wijk' yang ditulis pada tahun 1938 ini berkisah tentang Zainudin, keturunan orang Minangkabau tetapi dibesarkan oleh keluarga Bugis, ditolak permintaannya untuk menikah dengan Hayati kerana Zainudin miskin dan dianggap tidak kufu’ (setara) dengan Hayati.

Aku langsung membelinya setelah melihat penerbitnya 'Pustaka Dini', sebuah penerbitan yang diusahakan oleh sahabatku juga, iaitu Mukmin Effendi @ Saiful. Dulu dia bekerja denganku di Pustaka Al-Mizan. Setelah aku berhenti, dia juga keluar dan menubuhkan syarikat Pustaka Dini Sdn Bhd bersama Prof. Zakaria dan Abdullah Hehamahua (sekarang penasihat Badan Pencegah Rasuah di Indonesia dan Ketua Umum Partai Politik Islam Masyumi).

Pustaka Dini inilah yang membawa masuk dan menerbitkan buku Iqra ke Malaysia, iaitu buku panduan membaca al-Quran dengan cara mudah dan ringkas.

Setelah aku berhenti dari Berita Publishing (1994), aku sempat bekerja di Pustaka Dini sebentar. Kemudian, perkongsian perniagaan mereka dengan Prof Zakaria ditamatkan. Saiful meneruskan Pustaka Dini di Shah Alam sementara Abdullah kembali ke Jakarta setelah jatuhnya rejim Suharto. Abdullah Hehamahua dan Saiful datang ke Malaysia tahun 1985 seusai tragedi berdarah ke atas umat Islam di Tanjung Priok, Jakarta kerana pemerintah Suharto tidak suka dengan orang-orang yang anti Pancasila.

Setelah peristiwa Tg. Priok ini jugalah Abdullah Sunkar, Abu Bakar Baasyir dan pengikut-pengikutnya datang ke Malaysia. Namun di antara mereka tiada kaitan secara organisatoris.
Jadi, aku tertarik membeli buku itu kerana empat sebab: (1) aku kenal dengan penerbitnya dan inilah caranya aku membantu seorang kawan (2) aku ingin supaya anakku, terutama Warith yang suka membaca, dapat menikmati gaya penulisan Hamka, mengenali dua budaya yang berbeda, iaitu Bugis dan Minangkabau. (3) kami baru saja melancong ke Bukit Tinggi bulan Februari yang lalu, jadi dapatlah kami melihat dengan jelas apa yang digambarkan Buya Hamka dalam novelnya tentang gunung Merapi dan Singgalang. (4) kerinduanku dengan Buya Hamka sekurang-kurang dapat dileraikan dengan membaca roman percintaan yang tragis ini.

Setengah jam sebelum berangkat kami empat beranak: Aku, Warith, Walid dan Wazir menikmati hidangan tengah hari di salah sebuah restoran KLIA. Kami melepaskan Warith dengan harapan dia berjaya di tahun akhirnya, semoga dia berjaya sebagai seorang doktor perubatan kelak. Amin.

7 comments:

Search

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter